suria

Gencatan senjata dicapai tapi 'tempat selamat' terus dibedil Israel, 52 ahli keluarga terbunuh

Rakyat Palestin memindahkan mangsa serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di Khan Younis. -Gambar Mohammed Salem/Reuters

MESKIPUN gencatan senjata telah dipersetujui dan berkuat kuasa pada Khamis, tentera rejim zionis Israel masih terus melakukan pengeboman di Semenanjung Gaza.

Malah Menteri Luar Palestin Riyad al-Maliki mendedahkan, 52 individu daripada ahli keluarga yang sama telah terbunuh di kem pelarian Jabalia.

Beliau berkata demikian semasa lawatan ke London pada Rabu.

"Hanya pagi ini, daripada keluarga Qadoura di Jabalia, 52 orang telah terbunuh sepenuhnya.

“Saya ada senarai nama, 52 daripadanya. Mereka telah dihapuskan sepenuhnya daripada datuk kepada cucu,” ujarnya.

Di selatan Gaza, Tareq Abu Azzoum dari Al Jazeera berkata, serangan hebat berterusan pada Rabu menjelang gencatan senjata.

“Kawasan ini dianggap sebagai ‘tempat selamat’ untuk melarikan diri dari utara.

"Tetapi mereka mengalami tahap pengeboman Israel yang sama,” katanya selepas serangan Israel menyebabkan bangunan kediaman di Khan Younis musnah sepenuhnya.

Secara berasingan di Khan Younis, mayat lebih 100 rakyat Palestin yang asalnya ditahan di Hospital al-Shifa, telah dikebumikan di dalam kubur besar.

Perjanjian antara Israel dan Hamas, dibuat selepas hampir tujuh minggu perang di wilayah terkepung yang telah membunuh beribu-ribu dan menyebabkan ratusan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal.

Pun begitu, butiran penting perjanjian itu masih tidak jelas, tetapi ia dijangka termasuk pembebasan 50 tebusan awam yang ditahan di Gaza, pembebasan 150 rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel dan penghentian permusuhan selama empat hari di Gaza. 'Waktu rehat' itu dijangka bertepatan dengan kemasukan bantuan kemanusiaan ke dalam kawasan yang dikepung. - Al Jazeera

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain