SEORANG wanita mencetuskan kekecohan di sebuah kafe apabila dia bertindak biadab mengusir seorang pekerja penghantaran yang memasuki premis berkenaan. Dalam insiden yang dilaporkan berlaku di sebuah kedai kopi terkenal di Chengdu, China, pelanggan wanita berkenaan sedang menikmati minumannya apabila terlihat seorang pekerja penghantaran memasuki premis yang sama untuk membeli kopi. Dia yang kurang senang dengan kehadiran lelaki tersebut bertindak 'menghalau' sambil melontarkan penghinaan kepada individu itu yang disifatkan 'mencemarkan udara'. "Tidak mungkin saya boleh berkongsi kafe dengannya, tidak sama sekali," kata wanita berkenaan. Walau bagaimanapun, kakitangan kafe yang menyaksikan insiden tersebut bertindak untuk masuk campur dan menegaskan bahawa setiap individu berhak untuk memasuki premis berkenaan. Namun, pelanggan wanita itu tetap berkeras dan terus melontarkan kata-kata hinaan kepada pekerja penghantaran tersebut. Disebabkan pelanggan wanita itu enggan bertolerasni, kakitangan kafe terpaksa menyuruhnya meninggalkan premis dan meminta bantuan pengawal keselamatan untuk mengiringinya keluar. Pihak polis yang mengulas insiden tersebut menjelaskan bahawa tidak ada sebab untuk menghalang mana-mana individu daripada mengunjungi kedai, melainkan seseorang itu melanggar peraturan atau melakukan perbuatan tidak senonoh. Insiden tersebut tular di media sosial dan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warga maya. Rata-ratanya mengecam pelanggan wanita berkenaan kerana sikapnya yang angkuh dan memandang rendah terhadap seseorang. -Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube