suria

Penumpang ‘rampas’ kereta gara-gara pemandu e-hailing bawa terlalu perlahan ke lapangan terbang

Seorang penumpang didakwa merampas kenderaan e-hailing yang dinaikinya. -Gambar PA

SEORANG wanita ditahan selepas didakwa merampas kenderaan e-hailing yang dinaikinya kerana pemandu memandu 'terlalu perlahan' dalam perjalanan ke lapangan terbang.

Wanita berusia 27 tahun itu, Neusha Afkami dijemput dari hotelnya pada awal pagi Ahad lalu untuk dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom di Texas, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, pemandu menyatakan bahawa penumpang bising tentang berapa lama masa yang diambil untuk sampai ke lapangan terbang.

Dengan sepantas kilat, penumpang itu didakwa merampas telefon pemandu dan melontarnya keluar tingkap kereta, menyebabkan mereka berhenti ke tepi jalan.

Ketika pencarian telefon itu, Afkami dikatakan telah mengambil tempat duduk pemandu dan terus beredar meninggalkan pemandu yang berada di tepi jalan di Timur Cesar Chavez.

"Saya perlu pergi ke lapangan terbang, jadi saya akan mengambil kereta anda dan tinggalkannya di Southwest Airlines," katanya kepada pemandu itu, menurut keterangan polis.

Afkhami memecut sehingga ke lapangan terbang sebelum meninggalkan kereta tersebut di hadapan terminal.

Dia tiba di lapangan terbang lebih awal, malah mempunyai masa untuk membeli-belah dan dilaporkan membelanjakan sebanyak AS$130 (RM612) di kedai lapangan terbang menggunakan kad kredit milik pemandu.

Namun sebelum dia dapat mengejar penerbangannya, pegawai telah dimaklumkan tentang keberadaannya dan dia kemudian ditangkap.

Afkami ditahan kerana didakwa mencuri kenderaan itu, bersama kad kredit pemiliknya.

Dia dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan pada Januari 2024. - Daily Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain