suria

Sah! Pintu pesawat tercabut buatan Malaysia - NTSB

Penemuan palam pintu pesawat yang tertera tulisan tangan 'Made In Malaysia' (Buatan Malaysia).

PALAM pintu Boeing BA 737 MAX 9 yang tercabut ketika penerbangan pesawat Alaska Airlines pada awal bulan ini, disahkan dikilangkan di Malaysia.

Perkara itu disahkan oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat (AS).

Pengerusi NSTB, Jennifer Homendy, berkata bahagian pesawat berkenaan dibuat oleh syarikat Spirit AeoroSystems yang mempunyai kilang di Malaysia, sebelum dihantar ke pembekal Boeing di Wichita, Kansas.

Beliau berkata, siasatan NTSB juga akan menyelidik pengeluaran pintu itu, pengangkutan, pemasangan, dan masuk dalam perkhidmatan, serta pemeriksaan kualiti sepanjang proses itu.

"Buat masa ini kami tidak mempunyai petunjuk di mana dalam proses ini ia terjadi. Ia (kesilapan) boleh berlaku di mana sahaja sepanjang proses, dan kami tidak hanya menumpukan pada pengeluaran," katanya.

Penempuan palam pintu pesawat yang tercabut. -Gambar AP

Memetik laporan Wall Street Journal (WSJ), beliau berkata demikian selepas taklimat tertutup bersama ahli Jawatankuasa Perdagangan Senat AS pada Rabu.

Pada 5 Januari lalu, sebuah pesawat Alaska Airlines Boeing 737 MAX 9 melakukan pendaratan cemas di Portland, Oregon selepas palam pintu tercabut di udara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh palam pintu pesawat tercabut ‘buatan Malaysia’, ini jawab menteri

Portal berita, Oregon Public Broadcasting (OPB) pada Selasa melaporkan pengalaman guru sekolah di Portland yang mendakwa menjumpai palam pintu yang tercabut dari pesawat, di halaman rumahnya.

Dilaporkan, tulisan tangan yang tertera pada palam pintu itu didakwa menyatakan ia dikilangkan di Malaysia.

Pintu itu dipercayai tercabut pada altitud 16,000 kaki (4,877 meter) sebelum terjatuh di laman belakang rumah guru berkenaan di pinggir bandar Oregon.

Sebelum ini, NTSB mengenal pasti kawasan itu sebagai salah satu tempat ia mungkin terjatuh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain