GARA-GARA amalan kesihatan yang berlebihan, seorang wanita dikejarkan ke hospital selepas terkena ‘serangan’ anemia teruk. Dikenali sebagai Jin, dia dilaporkan telah menjalani rawatan pendarahan dan bekam di sebuah pusat kesihatan di wilayah Zhejiang, China, selama dua tahun bagi mengoptimumkan kesihatannya. Prosedur yang dilakukannya menggabungkan terapi akupunktur dan bekam kerana dipercayai dapat melancarkan peredaran darah dan meningkatkan fungsi organ. Difahamkan, Jin mengamalkan terapi berkenaan selepas percaya ia dapat melindunginya daripada kesan iklim yang panas dan lembap. Malah dia didapati meningkatkan terapinya kepada sesi mingguan sejak enam bulan lalu dengan pengamalnya mengambil kira-kira 200ml darah bagi setiap sesi. Ekoran daripada itu, Jin mengalami kerosakan kapilari kulit, pucat, pening, keletihan, berdebar-debar dan sesak nafas. Pemeriksaan perubatan di Hospital Pusat Wenzhou mendedahkan dia mengalami paras hemoglobin yang sangat rendah dan menunjukkan anemia teruk akibat kehilangan darah kronik yang disebabkan oleh rawatan tersebut. Kesihatan Jin bagaimanapun kembali pulih selepas mendapatkan rawatan di hospital. - SCMP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube