SEORANG lelaki bertindak membaling bingkai gambar kaca ke arah isterinya, selepas mendapati wanita itu bersama dua kekasih gelap di rumah mereka. Tindakannya itu menyebabkan isterinya mengalami kecederaan parah di bahagian kaki. Kejadian itu berlaku di Don Hua Lor di wilayah Chon Buri di Thailand, pada Selasa lalu. Polis dari Balai Polis Don Hua Lor bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai serangan itu. Pasukan penyelamat yang tiba terlebih dahulu mendapati mangsa berusia 31 tahun, terbaring di atas lantai dan menangis kesakitan akibat luka yang dialami. Mangsa diberi pertolongan cemas sebelum pasukan penyelamat membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut. Seorang penghantar bungkusan, Suchart berkata, dia terserempak dengan wanita yang cedera dan melaporkan perkara itu kepada polis. Suspek yang merupakan suami mangsa berusia 56 tahun mendakwa, isterinya curang selepas membawa dua kekasihnya masuk ke rumah ketika dia keluar bekerja. Dia pada mulanya mendapat tahu daripada isterinya bahawa anak mereka berusia empat tahun sakit. Suspek cuba menghubungi isterinya termasuk beberapa panggilan untuk bertanyakan tentang keadaan anaknya tetapi tidak berjawab. Bimbang dengan keadaan anaknya, suspek bergegas pulang dari tempa kerja sebelum bertemu dengan dua lelaki yang tidak dikenali di rumahnya. Menurut suspek, seorang lelaki terbaring di tingkat satu rumah itu manakala seorang lagi lelaki di atas katil bersama isterinya di bilik tidur mereka di tingkat dua. Suspek mengakui kemarahannya menyaksikan kejadian yang berlaku membuatkan dia bertindak melemparkan bingkai gambar kaca itu ke arah isterinya. Namun kata suspek, tindakannya itu tidak seteruk dengan apa yang dilakukan oleh isteri yang sanggup menghancurkan hatinya. Kes itu kini dalam siasatan polis. - Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube