BERHASRAT mahu berkahwin, seorang lelaki berusia 29 tahun nekad mencari calon isteri dengan caranya sendiri. Berasal dari Madhya Pradesh, India, Deependra Rathore menggunakan pendekatan unik menerusi iklan yang dipasang pada motosikal beca elektrik milikya. Iklan tersebut memaparkan tujuannya untuk berkahwin dan butiran peribadi. Menurut Deependra, dia berhasrat untuk berkahwin tetapi tidak dapat mencari pasangan yang sesuai kerana mendakwa tidak ramai wanita dalam komunitinya. Jelasnya lagi, perbezaan agama dan kasta tidak penting baginya dan mana-mana wanita boleh mendekatinya dengan lamaran perkahwinan itu. Deependra juga menyertai grup perkahwinan untuk mencari pengantin perempuan tetapi dia tidak dapat menemui wanita dari bandarnya. Susulan itu, dia memutuskan untuk mengemaskini butirannya dalam pencarian itu. Menurut Deependra, dia juga bersedia untuk berkahwin dengan seorang wanita di luar bandarnya. Iklan mencari jodoh itu memaparkan butiran peribadinya seperti ketinggian, tarikh dan masa lahir, kumpulan darah, kelayakan pendidikan dan banyak lagi. Deependra menyara keluarganya dengan bekerja sebagai pemandu motosikal beca elektrik. Deependra berkata, dia akan memastikan sesiapa yang menjadi isterinya akan sentiasa dibahagiakan. - India.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube