SEORANG lelaki ditahan polis kerana didakwa melakukan serangan seksual terhadap beberapa mangsa dalam kalangan wanita dan remaja perempuan. Dalam kejadian yang berlaku di Min Buri di Bangkok, Thailand, lelaki itu bertindak meraba payudara mangsa, melakukan masturbasi dan meludah di hadapan mereka. Lebih 10 wanita memfailkan aduan di Balai Polis Min Buri bahawa pelaku yang menunggang motosikal mendekati mangsa yang sedang berjalan bersendirian di laluan pejalan kaki sebelum menyerang mereka secara seksual. Channel 7 melaporkan seorang pelajar perempuan mengalami depresi selepas menjadi mangsa serangan seksual itu. Sementara itu, seorang lagi pelajar pelatih yang bekerja di kawasan itu membuat keputusan untuk berhenti dan meninggalkan Bangkok untuk pulang ke kampung kerana stres dan ketakutan akibat serangan itu. Susulan beberapa siri serangan, penduduk setempat cuba menahan suspek dan memeriksa rakaman kamera keselamatan untuk mengesannya yang menunggang motosikal merah. Gambarnya kemudian dipamerkan di kebanyakan dinding kejiranan dan disebarkan di platform media sosial sebagai langkah berjaga-jaga. Hasil siasatan polis, lelaki itu berjaya ditangkap di sebuah kedai telur ketika mahu menghantar tempahan telur kepada pelanggannya. Seorang pengguna dalam talian kemudian tampil memaklumkan kepada polis bahawa suspek merupakan individu yang terlibat dalam kecurian seluar dalam wanita di kawasan kejiranan Rat Uthit di daerah sama. Lelaki itu didakwa melakukan serangan seksual, termasuk melibatkan mangsa bawah umur. Dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga 200,000 baht (RM26,491), atau kedua-duanya di bawah Seksyen 278 Undang-undang Jenayah. - Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube