suria

Empat sekeluarga maut terjun dari tingkat 22 apartment, suami sempat cium isteri dan 2 anak

Rakaman CCTV menunjukkan kelibat empat mangsa sebelum terjun dari tingkat 22 apartment. -Gambar Serambinews

EMPAT individu daripada sebuah keluarga maut selepas terjun dari tingkat 22 sebuah apartment di Penjaringan, Jakarta, Indonesia.

Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu, identiti keempat-empat mangsa yang maut dikenal pasti sebagai EA (51 tahun) dan AIL (50 tahun) yang merupakan pasangan suami isteri, serta dua anak mereka iaitu JL (15 tahun) dan JW (13 tahun).

Menurut kenyataan polis, rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) di apartment berkenaan memperlihatkan si bapa sempat mencium isterinya dan dua anak mereka, sebelum kejadian tragis itu berlaku.

"Di dalam lif, EA mencium dahi tiga yang lain. Selepas mencium dahi, AIL dilihat mengumpul telefon bimbit daripada semua orang untuk naik ke tingkat atas," kata Ketua Polis Daerah Penjaringan, Pesuruhjaya Agus Ady Wijaya.

Kejadian disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang terdengar bunyi dentuman sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati empat individu sudah terbaring tidak benyawa di hadapan lobi apartment.

Polis menyifatkan kejadian tersebut sebagai bunuh diri dan masih menjalankan siasatan berhubung motif yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian. -Serambinews

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain