SEORANG pencuri memulangkan semula motosikal yang dicuri kepada mangsa dalam kejadian pada Sabtu lalu. Memetik portal Suara.com, lelaki berkenaan menggunakan perkhidmatan servis penghantaran barang, GoBox di Tangerang Selatan, Indonesia. Menurut Ketua Polis Daerah Pondok Aren Pesuruhjaya Bambang Askar Sodiq, pelaku memulangkan semula motosikal berkenaan sehari selepas dicuri. "Ini merupakan satu kes yang jarang berlaku. Setelah mencuri, dipulangkan semula," kata Bambang kepada wartawan dalam satu kenyataan pada Ahad. Jelasnya, kecurian motosikal jenama Yamaha Nmax itu berlaku ketika mangsa bermain badminton di Gelanggang Badminton Azahra di Pondok Aren, Indonesia pada petang Jumaat. Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), didapati motosikal mangsa dilarikan oleh individu yang tidak dikenali. Namun, pelaku memulangkan semula motosikal dicuri ke alamat Gelanggang Badminton Azahra tersebut. Susulan itu, Bambang menyatakan bahawa mangsa masih belum membuat laporan berikutan kejadian. Bagaimanapun, pihaknya bersedia untuk menguruskan kes segera sekiranya mangsa ingin membuat laporan polis. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube