suria

Gara-gara batal tempahan teksi saat akhir, penumpang wanita diludah rider

Pergaduhan antara penunggang teksi motosikal dan seorang wanita.

APABILA perasaan amarah mengatasi segalanya.

Begitulah kisahnya apabila seorang penunggang teksi motosikal di Malang, wilayah Jawa Timur, Indonesia tergamak meludah seorang penumpang kerana membatalkan tempahan.

Kejadian berlaku di hadapan Universiti Negeri Malang, Kota Malang pada Jumaat lalu.

Menurut saksi, penumpang wanita tersebut membuat keputusan membatalkan tempahan teksi motosikal selepas menunggu untuk tempoh yang agak lama.

Selepas membatalkan tempahan, penunggang teksi motosikal berkenaan tiba di lokasi tersebut, menyebabkan dia naik berang apabila kelibat penumpang wanita itu tidak lagi kelihatan.

“Penunggang teksi motosikal itu sudah menjelaskan bahawa dia terkandas dalam kesesakan lalu lintas. Dia berang kerana tempahan dibatalkan oleh penumpang tersebut,” kata Ketua Polis Lowokwaru, Komisioner Polis Anton Widodo.

Tambah Anton, mereka bertengkar sebelum penunggang ojol tersebut bertindak meludah wanita berkenaan.

Penunggang tersebut kemudian dipanggil ke balai polis tempatan, Sabtu lalu selepas pihak berkuasa menerima aduan mengenai kejadian itu.

Selepas memberi keterangan, kedua-dua pihak akhirnya berdamai dan menutup kes tersebut. - Okezone News

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain