UMAT Islam di Panggang, Giriharjo, Gunungkidul di Jogjakarta, Indonesia menyambut Aidilfitri pada Jumaat. Jemaah di Masjid Aolia di Panggang hadir untuk solat sunat Aidilfitri sejak awal pagi. Sambutan itu lima hari lebih awal dari pengumuman kerajaan di Republik itu yang berkemungkinan jatuh pada 10 April. Sebelum solat hari raya, para jemaah melaungkan takbir. Menerusi pemerhatian CNNIndonesia di lokasi pada Jumaat, jemaah sudah berkumpul di masjid Aolia seawal pukul 6 pagi. Terdahulu, jemaah masjid Aolia juga melaksanakan ibadah puasa lebih awal, pada 7 Mac lalu. Mengenai perkara itu, ketua Kementerian Agama Gunungkidul tampil memberikan penjelasan. "Kementerian Agama telah menjelaskan kepada Mbah Ibnu (Imam masjid Aolia, KH Ibnu Hajar Pranolo) mengapa beliau memulakan tarawih malam tadi. Kami berjumpa dan (Ibnu) memberi penjelasan bahawa ia berdasarkan keyakinan beliau," kata Ketua Pejabat Kementerian Agama Gunungkidul, Sa' Aban Nuroni dalam laporan detikcom, pada 7 Mac lalu. Tahun lalu, jemaah Masjid Aolia juga mengerjakan solat sunat Aidilfitri lebih awal, iaitu pada 20 April 2023, sementara hari lebaran diumumkan kerajaan ketika itu ditetapkan antara 21 dan 22 April 2023. - CNN Indonesia Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube