suria

4 tahun hulur sumbangan secara rahsia, identiti dermawan akhirnya terbongkar... Ibu tunggal terus jumpa, serah kacang tanda penghargaan

Wanita bersama ibu mentua dan anaknya redah 1,000km untuk bertemu lelaki yang membantunya.

"HUTANG emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati".

Begitulah yang dilalui wanita dari China ini apabila dia sanggup mengembara sejauh 1,000 kilometer demi mengucapkan terima kasih kepada seorang dermawan yang secara rahsia menghantar 1,500 yuan (RM984) kepadanya setiap bulan.

Ia dilakukan selepas suami kepada wanita terbabit meninggal dunia akibat lemas semasa bekerja sebagai nelayan pada April 2020.

Kematian suaminya adalah satu tamparan hebat, apatah lagi kerana lelaki itu adalah pencari nafkah tunggal keluarga.

Tambahan pula pampasan yang dibayar oleh majikan suaminya iaitu lebih 1.1 juta yuan (RM721,829), digunakan untuk membayar hutang yang terakru selama bertahun-tahun.

Pada masa sama, dia perlu membesarkan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan yang masing-masing berusia lapan tahun dan tujuh bulan ketika itu.

Untuk menampung kehidupan, wanita yang sebelum ini seorang suri rumah, mendapatkan pekerjaan di sebuah pasar raya.

Penderitaan yang dialaminya itu mendapat perhatian seorang lelaki dermawan yang juga pemilik perusahaan teknologi marin di Zhoushan.

Susulan daripada itu, dia yang merupakan ibu tunggal menerima 1,500 yuan setiap bulan selepas dihubungi individu tersebut.

Selepas empat tahun berlalu, wanita tersebut berasa terhutang budi dengan kebaikan dermawan tersebut dan berusaha menjejakinya sebelum bertemu pada 19 Mac lalu.

Selain menyerahkan sepanduk sutera, wanita ini turut memberikan hasil tanaman kacang kepada lelaki terbabut sebagai ucapan terima kasih. - South China Morning Post

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain