suria

Gara-gara nak kuatkan tulang, tingkat imun badan... Warga emas maut terlebih vitamin

Kebanyakan warga emas gemar mengamalkan pengambilan vitamin dan suplemen kesihatan. -Gambar hiasan

DEMI menguatkan sistem tulang dan imun badan, seorang lelaki warga emas mengamalkan pengambilan vitamin D.

Bagaimanapun tanpa diduga dia dimasukkan ke hospital akibat kandungan dos berlebihan sehingga disahkan menghidap hiperkalsemia.

Memetik laporan Oddity Central, lelaki berusia 89 tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas 10 hari menerima rawatan.

Susulan daripada itu, pakar mengeluarkan amaran tentang bahaya pengambilan vitamin D yang berlebihan dan menyifatkan keadaan yang dialami ahli perniagaan itu jarang berlaku.

Difahamkan, mangsa maut disebabkan hiperkalsemia, pengumpulan kalsium dalam badan akibat tahap vitamin D yang berlebihan.

Ketoksikan vitamin D disenaraikan sebagai salah satu faktor utama kematiannya di samping penyakit jantung kongestif dan kegagalan buah pinggang kronik.

Sebelum kematiannya, ujian menunjukkan tahap vitamin D Mitchener pada 380 ng/mL, tahap maksimum yang boleh direkodkan oleh makmal.

Laporan kematiannya menimbulkan kebimbangan bahawa suplemen vitamin boleh mempunyai risiko dan kesan sampingan yang berpotensi sangat serius apabila diambil secara berlebihan.

Hiperkalsemia adalah keadaan perubatan yang jarang berlaku tetapi sangat serius yang boleh melemahkan tulang dan merosakkan buah pinggang dan jantung, gejala yang diperhatikan semasa bedah siasat mangsa.

Ia dikaitkan dengan pengambilan terlalu banyak vitamin D, yang menjadi masalah yang lebih berleluasa selepas wabak Covid-19 apabila pengambilannya digalakkan untuk meningkatkan sistem imun.

Malangnya, kebanyakan orang tidak faham bahawa terlalu banyak perkara yang baik sebenarnya boleh membawa kesan buruk.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain