SEORANG wanita di Gorakhpur, India cuba membunuh diri dengan memanjat tiang elektrik bervoltan tinggi selepas bertengkar dengan suaminya gara-gara hubungan sulitnya diketahui lelaki tersebut. Penduduk kampung segera menghubungi polis dan dalam masa yang sama cuba memujuk wanita berusia 34 tahun itu untuk turun, berikutan khuathir sekiranya dia terkena renjatan elektrik. Polis dan jabatan perkhidmatan elektrik bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan daripada orang awam. Bekalan elektrik turut diputuskan sebagai langkah berjaga-jaga ketika usaha menyelamat dilakukan. Video kejadian yang berlaku pada Rabu itu turut tular di media sosial. Menurut polis, wanita yang dikenali sebagai Suman Devi yang juga ibu kepada tiga anak, didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki di luar pengetahuan suaminya. Bagaimanapun selepas 'terkantoi', wanita itu mahu membawa kekasihnya tinggal bersama tetapi cadangan tersebut dibantah keras oleh suaminya. Pasangan suami isteri itu bertengkar dan wanita itu akhirnya nekad memanjat tiang elektrik untuk membunuh diri. "Kami memujuk wanita itu untuk turun dengan bantuan jabatan perkhidmatan elektrik. "Wanita itu diselamatkan dan dihantar pulang ke rumah bersama suaminya. Kami tidak menerima sebarang aduan sehingga kini," kata polis. -Indiatoday Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube