GEMPAR apabila umat Islam di Panggang, Giriharjo, Gunungkidul di Yogyakarta, Indonesia menyambut Aidilfitri lebih awal dari tarikh sepatutnya iaitu pada Jumaat, 5 April. Menurut liputan pengamal media di sana, kelihatan jemaah tempatan mengimarahkan Masjid Aolia di Panggang pada awal pagi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri. Sambutan tersebut ternyata lima hari awal berbanding pengumuman rasmi Syawal di negara Republik itu yang berkemungkinan jatuh pada 10 April (Rabu). Persoalan yang berlegar akhirnya terjawab apabila ketua agama kampung berkenaan iaitu KH Ibnu Hajar Sholeh Pranolo atau mesra dikenali Mbah Benu tampil memberikan penjelasan. Menurut dakwaannya, dia yakin Aidilfitri akan jatuh pada hari yang lebih awal iaitu 5 April selepas 'berhubung' dengan Allah melalui panggilan telefon. ARTIKEL BERKAITAN: 5 hari lebih awal, umat Islam di Jogjakarta sambut Aidilfitri hari ini "Saya tidak menggunakan perhitungan (untuk menentukan Aidilfitri). Saya telefon terus Allah SWT, saya bertanya, Ya Allah ini sudah 29 Ramadan, 1 Syawalnya bila? "Maka Allah menjawab pada 5 hari bulan bersamaan Jumaat. Kalau disalahkan orang tidak mengapa, ini antara saya dengan Tuhan," kata Mbah Benu. Sebagai makluman, jemaah masjid pimpinan Mbah Benu juga mula melaksanakan ibadah puasa lebih awal iaitu pada 7 Mac lalu, manakala tarikh Ramadan yang sebenar mengikut cerapan anak bulan adalah pada 12 Mac. Sementara itu, memetik laporan portal Suara.com, majlis agama tempatan ketika dihubungi berkata mereka tidak dapat masuk campur dalam aktiviti kumpulan Mbah Benu. "Mereka mempunyai dalil tersendiri yang sudah diyakinkan pemimpinnya iaitu Mbah Benu. Kejadian seperti ini sudah pernah terjadi pada tahun-tahun sebelumnya," kata wakil kementerian agama di wilayah Yogya. Menyangkal dakwaan yang dikeluarkan Mbah Benu, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata sebagaimana yang diputuskan oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, hanya para nabi dan rasul mempunyai kebolehan untuk bercakap dengan Allah. "Daripada kalangan manusia, hanya para nabi dan rasul yang boleh berkomunikasi dengan Allah. Selain daripada itu adalah mereka yang berdusta. "Daripada kalangan makhluk lain, Wallahualam jika ada yang boleh bercakap secara terus dengan Allah," jelasnya. Umat Islam perlu berhati-hati dengan apa jua amalan dan ajaran sesat yang semakin berleluasa kerana ia boleh membawa syirik kepada Allah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube