PELBAGAI idea licik yang boleh dikeluarkan penjenayah untuk mendapatkan apa yang diingini. Begitulah kisahnya apabila seorang individu tidak dikenali sanggup menyamar sebagai beg sampah untuk mencuri bungkusan mel yang ditinggalkan di depan pintu masuk sebuah kediaman. Kejadian berlaku di luar rumah Omar Gabriel Munoz, di Sacramento County, negeri California, Amerika Syarikat pada 29 Mac lalu. Rakaman kamera pintu Munoz memaparkan pelaku sedang membongkok di bawah beg sampah kemudian menghampiri pintu hadapan dan mencuri bungkusan kurier. Bahagian badan pelaku yang boleh dilihat hanyalah kakinya yang memakai sandal putih, bahagian lain semua ditutupi oleh plastik sampah. Menurut Munoz, bungkusan kurier itu mempunyai dua pengecas iPhone yang dipesan secara atas talian dan berharga AS$10 (RM47.24). “Pada mulanya saya agak marah tetapi apabila saya melihat video itu sekali lagi saya ketawa kerana pelaku begitu kreatif,” kata Munoz. Dia tidak melaporkan kecurian itu kepada polis kerana berpendapat bahawa pihak berkuasa mempunyai perkara lebih penting untuk diselesaikan. - Fox News Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube