suria

Pelancong wanita warga asing bikin kecoh! Selamba berjalan tanpa baju, minta wang daripada pengunjung hotel

Pelancong wanita tersebut yang selamba tidak berbaju didakwa menimbulkan kekecohan di beberapa penginapan di Phuket. -Gambar Phuket Times

SEORANG pelancong wanita dari Portugal mengejutkan tetamu di sebuah hotel di Phuket, Thailand apabila selamba berjalan-jalan tanpa memakai baju.

Menurut laporan media tempatan, pelancong yang dikenali sebagai Nadiya Serivna Varshawa, 31, sudah beberapa kali menimbulkan kekecohan di beberapa penginapan di sekitar pulau pelancongan terkenal tersebut.

Akhbar Phuket Times pada 21 April mengeluarkan amaran kepada pengusaha penginapan di wilayah itu supaya berhati-hati dengan pelancong wanita tersebut.

"Amaran untuk hotel di Phuket! Berhati-hati dengan pelancong wanita ini! #Nadiya kembali untuk mencetuskan huru-hara lagi.

"Dia menempah bilik hotel tetapi tidak membayar caj penginapan. Dia meminjam wang untuk membayar tambang teksi dan mendakwa hanya mempunyai kad kredit.

"Dia berjalan sambil bertelanjang di sekeliling hotel dan meminta wang kepada semua orang yang ditemuinya.

"Dia juga memesan makanan tetapi tidak dapat membayarnya. Semua kecoh kerana dia," tulis akhbar berkenaan.

Agensi berita itu juga memaparkan gambar pelancong wanita tersebut yang berimej separuh bogel.

Difahamkan, sebelum ini pelancong tersebut pernah menjadi tajuk utama berita tempatan kerana enggan membayar tambang teksi dan mengugut untuk menikam pemandunya dengan pisau.

Pegawai dari Balai Polis Chalong yang menyiasat kes tersebut memaklumkan wanita berkenaan mempunyai penyakit mental.

Rata-rata pengguna media sosial Thailand menggesa pihak berkuasa agar campur tangan sebelum wanita berkenaan menimbulkan lebih banyak masalah. -Thaiger

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan