suria

Lebuh raya di Guangdong runtuh, sekurang-kurangnya 19 terkorban

Sebahagian lebuh raya antara bandar Meizhou dan daerah Dabu di wilayah Guangdong runtuh pada Rabu. -Foto CCTV/Weibo

SEKURANG-kurangnya 19 orang maut apabila sebahagian lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China runtuh, lapor media kerajaan.

Media tempatan, CCTV berkata, lebuh raya antara bandar Meizhou dan daerah Dabu di wilayah Guangdong runtuh sekitar pukul 2.10 pagi waktu tempatan.

Dilaporkan, insiden itu menyebabkan 18 kenderaan terperangkap dan mangsa yang terlibat seramai 49 orang, kata CCTV.

"Sehingga pukul 11.45 pagi (waktu tempatan), 19 orang telah disahkan meninggal dunia, dan 30 lagi sedang menerima rawatan kecemasan di hospital," menurutnya.

Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan api dan asap menjulang dari lokasi runtuhan, dengan kenderaan jatuh terjunam dan remuk.

Kira-kira 500 anggota penyelamat daripada pelbagai jabatan dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu operasi mencari dan menyelamat, lapor CCTV.

Insiden menyebabkan sebahagian lebuh raya S12 ditutup di kedua-dua arah.

Setakat ini punca kejadian masih belum dinyatakan. -AFP

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain