SEORANG gelandangan lelaki ditemukan maut di dalam balutan plastik di tepi jalan berhampiran sebuah rumah mewah kawasan Bang Khen, Nontha Buri di Thailand. Menurut laporan, polis mengesahkan kejadian berlaku awal Jumaat sekitar pukul 4.30 pagi setelah mendapat panggilan daripada kejiranan itu. Mengikut siasatan awal, mangsa dikenali sebagai Boonyuen, 42, ditemukan dalam posisi meringkuk dengan seluruh tubuhnya 'diselimuti' sekeping plastik jernih. Mangsa dikatakan maut kira-kira lima jam sebelum ditemukan dan polis mengesahkan tiada tanda-tanda serangan fizikal ke atas mangsa. Kata polis, mereka sering dihubungi penduduk di kawasan itu kerana Boonyuen kerap dilihat berkeliaran di jalan raya sambil menolak troli miliknya untuk mengutip barang kitar semula. "Mangsa seorang gelandangan yang sering tidur di jalanan. Penduduk selalu menghubungi kami untuk menghalaunya apabila dia tidur di hadapan rumah mereka. "Ini menyebabkan dia mencari perlindungan di tempat lain, yang malangnya berakhir dengan tragedi kali ini," jelas pegawai polis tersebut. Bagaimanapun mayat Boonyuen dibawa ke Institut Sains Forensik untuk pemeriksaan lanjut dan polis masih meneruskan siasatan mereka untuk mengesahkan punca sebenar kematian. Sejak itu, pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk menunjukkan lebih belas kasihan terhadap gelandangan dan mendapatkan bantuan bagi mereka melalui saluran yang betul. -Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube