SEORANG pensyarah ditemukan meninggal dunia di bilik pejabatnya di sebuah kampus politeknik. Kejadian berlaku di kampus Politeknik Negeri Ujung Pandang (PNUP) di Kecamatan Tamalanrea, Kota Makassar di Sulawesi Selatan, Indonesia pada Jumaat (31/5/2024). Pensyarah berusia 61 itu ditemui dalam keadaan baring di mejanya oleh pelajar. Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Tamalanrea, Inspektor Jeriady yang mengesahkan penemuan itu berkata, jenazah sudah dibawa ke Hospital Bhayangkara Makassar. "Pelajar menemuinya kerana kedudukan mangsa tidak berubah sejak semalam. Jadi, dia mengambil inisiatif untuk memeriksa keadaannya," kata Jeriady kepada Kompas.com, petang Jumaat. Berdasarkan maklumat pelajar, mangsa merupakan pensyarah kursus kejuruteraan penjanaan tenaga dan kali terakhir dilihat berbaring di mejanya pada petang Khamis. Keesokan harinya, pelajar itu melihat kedudukan pensyarah yang masih sama, sebelum dia memberanikan diri untuk memeriksa keadaan pensyarah berkenaan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tamalanrea, Muhammad Yusuf menjelaskan bahawa hasil siasatan awal mendapati tiada unsur keganasan atau objek yang mencurigakan ditemui pada mangsa. Yusuf berkata, mangsa disyaki meninggal dunia kerana menghidap penyakit yang dihidapinya sejak sekian lama. "Menurut anaknya, mangsa mengadu sakit tetapi tetap berkeras mahu pergi mengajar," jelasnya. Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kematian pensyarah itu. Sementara itu, rakan pensyarah, Marhatang, mendedahkan mangsa yang berkhidmat di kampus itu sejak 1990-an merupakan rajin melakukan tugasan. diketahui rajin melakukan kerja. "Semalam saya lihat dia masih mengajar. Orangnya baik, tegas dan pendiam," katanya. -Kompas Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube