suria

Guna laluan berbeza ketika balik sekolah, pelajar perempuan sempat telefon ibu sebelum ditemukan mati dalam parit

Lokasi penemuan mayat Anggi oleh penduduk kampung. -Foto polis Mesuji

PELAJAR sekolah menengah yang ditemukan mati di dalam parit sempat berkomunikasi dengan ibunya sebelum kejadian di Mesuji, Lampung, Sumatera di Indonesia.

Menurut bapa saudaranya, Yasman, ibu mangsa menghubungi anaknya, Anggi Lestari, 16, dan bertanya bilakah dia akan pulang ke rumah.

"Kali terakhir saya berhubung dengan mangsa semasa dia pulang dari sekolah. Ibunya membuat panggilan telefon pukul 10 pagi dan dia mahu pulang selepas habis peperiksaan.

"Biasanya mangsa pulang bersama rakan-rakannya tapi disebabkan jadual waktu peperiksaan tak sama, jadi dia pulang sendirian dan bukan dengan kawan seperti selalu," katanya pada Jumaat.

Bagaimanapun, penantian keluarga Anggi pada hari kejadian adalah buat kali terakhir apabila mereka menerima berita duka pelajar kelas X ini ditemukan mati dalam sebuah kebun getah.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk gempar jumpa mayat pelajar perempuan dalam parit, tubuh penuh kesan tikaman

Yasma menjelaskan lokasi anak saudaranya ditemukan pada waktu petang itu bukanlah jalan yang biasa dilaluinya kerana jarak jauh kira-kira 1 kilometer dari laluan biasa.

Terdahulu, penduduk kampung dikejutkan dengan penemuan seorang pelajar sekolah menengah dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman dari leher hingga ke pinggang.

Anggi ditemukan dalam keadaan masih memakai pakaian sekolah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Ragab Begawe Caram untuk proses bedah siasat.

Susulan itu, pihak polis Mesuji menahan tujuh orang saksi bagi membantu soal siasat berhubung kejadian berkenaan.-Detik

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain