TIKTOKER dari Puerto Rico, Farruko Pop yang dilaporkan hilang disahkan mati dibunuh pada 25 Mei lalu. Farruko Pop, 18, atau nama sebenarnya José Sebastián disahkan mati dibunuh selepas mayatnya ditemukan ditanam di kawasan rumah terbiar di El Limón, Guatemala. Menurut laporan La Prensa Gráfica, mayat Farruko Pop ditemukan oleh pihak berkuasa Guatemala selepas dia dilaporkan hilang beberapa hari sebelum itu. Laporan Institut Sains Forensik Kebangsaan menyebut mangsa telah mati selama kira-kira empat hingga lima hari. Untuk rekod, pempengaruh itu meraih populariti selepas dia menceburkan diri dalam penciptaan kandungan di aplikasi TikTok. Dia yang berbakat dalam bidang nyanyian menggunakan nama pentas Farruko Pop sebagai penghormatan kepada idolanya, artis reggaeton terkenal iaitu Farruko. Suaranya yang unik membolehkan remaja itu meraih pengikut yang ramai di platform TikTok. Dia juga pernah mengambil bahagian dalam program televisyen La Academia edisi Guatemala. Walaupun gagal meraih kemenangan, persembahannya berjaya memikat hati juri sehingga dia ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian muzik. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube