BERPANTANG maut sebelum ajal. Selagi belum tiba masanya, seorang itu tidak akan meninggal dunia walaupun ditimpa tragedi mengerikan. Begitulah kisahnya apabila nyawa seorang lelaki terselamat dengan bantuan seutas rantai leher ketika dirinya terlibat dalam insiden tembak-menembak. Ketika kejadian di negeri Colorado Amerika Syarikat (AS) pada 28 Mei itu, sebutir peluru sesat berdesup ke leher lelaki berkenaan, namun berjaya dihalang oleh rantai logam yang dipakainya. Menurut pihak polis tempatan, adegan tembak-menembak berpunca daripada ketegangan yang tercetus antara dua belah pihak, manakala mangsa ketika kejadian tidak dilengkapi sebarang senjata api. Melalui foto yang tular, kelihatan peluru kaliber .22 tersekat di dalam rantai leher terbabit, menyebabkan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dilindungi daripada pendarahan yang boleh membawa maut. "Disebabkan rantai yang berwarna perak inilah mangsa masih hidup. Menariknya rantai ini bukan diperbuat daripada perak yang tulen. Jika tidak, rantai ni sudah lama berkecai apabila dihentam peluru kerana perak adalah logam yang lebih lembut. "Jadi ada baiknya juga untuk beli barangan palsu," kata seorang anggota polis yang berada di tempat kejadian berseloroh. - Sky News Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube