SEORANG bapa tergamak mendera malah beberapa kali menghempas anak perempuannya yang baru berusia setahun di lantai sebelum mencampak mangsa ke saluran sawah. Lebih menyedihkan apabila dia enggan mengaku bayi tersebut sebagai anak kandungnya. Menurut Ketua Polis di daerah Gowa Ipda, Udin Sibadu, pihaknya menerima laporan daripada pekerja di sawah Desa Lembang, Kabupaten Barombong, Indonesia atas penemuan mayat bayi perempuan di kawasan pengairan sawah itu pada 8 Jun lalu. "Mayat bayi kemudian dihantar untuk proses bedah siasat. "Pakar mengesahkan mangsa dihempas ke lantai, yang mana kepala bayi itu terhentak ke lantai dua kali sebelum disahkan meninggal dunia," kata Udin. Susulan itu, polis menahan kedua ibu bapa bayi berkenaan untuk melakukan siasatan. Jelas Udin, bapa bayi berkenaan mengaku dakwaan berhubung membunuh anaknya sendiri. Difahamkan, pada 7 Jun, ibu bapa mangsa bertengkar kerana suspek, 35, meragui isterinya yang berusia 27 tahun dengan menyatakan wanita terbabit mempunyai hubungan dengan lelaki lain. "Susulan daripada itu, suspek bertindak mencederakan bayi terbabit dan enggan mengakunya sebagai darah daging sendiri," jelas Udin Lebih malang, penderaan dan pembunuhan yang dilakukan lelaki itu turut disaksikan oleh ibu bayi berkenaan namun tidak mampu menghalang tindakan suaminya itu. Tambah Udin, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup manakala ibu bayi tersebut juga didakwa atas tuduhan bersubahat dalam membunuh anaknya. -Detik Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube