suria

Geram telefon dirampas, remaja perempuan naik motor kejar abang ‘polis’ sejauh 12km... Langgar sampai jatuh!

Tiga remaja ini ditahan sebelum diugut untuk disaman individu menyamar sebagai polis.

KEBERANIAN tiga remaja perempuan berusia 14 tahun berjaya membantu pihak berkuasa untuk menangkap seorang lelaki yang menyamar sebagai polis.

Kisah itu bermula apabila Amira, Dirsi dan Nasya ditahan individu berkenaan dalam satu sekatan di kawasan kediaman mereka di Cianjur, Jawa Barat, Indonesia.

Menurut Ketua Polis Daerah Sukaluyu di Cianjur, Yayan Suharyana, lelaki itu mengugut untuk menyaman tiga remaja berkenaan sekiranya mereka tidak menyerahkan barangan berharga.

"Mereka bertiga berasa curiga selepas ditahan lelaki itu ketika menyeberangi jalan. Mereka diugut dengan saman atau meminta maaf dengan menyerahkan telefon bimbit mereka," kata Yayan pada Sabtu.

Salah seorang remaja itu juga diminta membonceng motosikal lelaki berkenaan untuk pergi ke kediaman pegawai kampung.

Bagaimanapun, mangsa diturunkan di tengah jalan sebelum pelaku melarikan diri dengan telefon bimbit mereka.

Dua lagi remaja yang menunggang sebuah motosikal mengejar penjenayah itu sejauh 12 kilometer.

Mereka turut merempuh motosikal yang dinaiki penjenayah itu sehingga dia terjatuh.

Penduduk tempatan kemudiannya menahan pelaku, sebelum dia diserahkan kepada pihak berkuasa. - Agensi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain