suria

Bunuh taikun pembinaan, mahkamah kekalkan hukuman mati ke atas bekas timbalan menteri

Mahkamah mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Banyin Tangpakorn.- Foto KhaoSod

MAHKAMAH mengekalkan hukuman mati ke atas bekas timbalan menteri, Banyin Tangpakorn yang didapati bersalah membunuh taikun pembinaan, Chuwong Saetang.

Keputusan itu dibacakan di Mahkamah Agung Thailand pada 26 Jun, sekali gus, mengesahkan penghakiman terdahulu daripada mahkamah rendah.

Balu Chuwong, Sirirat Saetang, bersama-sama pendakwa raya, pada mulanya memfailkan kes terhadap Banyin, bekas Timbalan Menteri Perdagangan dan bekas Ahli Parlimen Nakhon Sawan kerana pembunuhan terancang dan menyembunyikan jenayah, seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 289 Kanun Jenayah Thai.

Bekas taikun pembinaan, Chuwong berusia 50 tahun maut dalam kemalangan kereta pada 26 Jun 2015.

Insiden itu melibatkan Lexus hitam yang dipandu Banyin, manakala Chuwong duduk di sebelahnya.

Kereta itu merempuh sebatang pokok di Jalan Chalerm Phrakiat Rama 9 di daerah Dokmai Bangkok, mengakibatkan kematian Chuwong.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri kehilangan 37 hari terjawab, mayat wanita membusuk ditemukan di tepi sungai

Walaupun Banyin mendakwa ia adalah satu kemalangan, fakta yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan membuktikan sebaliknya.

Keputusan mahkamah pada 20 Januari 2021 menyimpulkan Banyin merancang pembunuhan itu.

Mahkamah mendapati Banyin, bersama-sama rakan kongsinya, merancang dan melaksanakan pembunuhan itu, kemudian cuba menutupnya dengan mendakwa ia sebagai kemalangan kereta.

Mahkamah memutuskan Banyin bersalah mengikut Seksyen 289 dan Seksyen 83 Kanun Jenayah yang membawa kepada hukuman mati.

Banyin membuat rayuan pada 25 Ogos 2022, namun mahkamah mengekalkan hukuman asal yang dijatuhkan ke atasnya.

Peguam yang mewakili keluarga Chuwong, Anek Kumchum berkata keputusan terakhir Mahkamah Agung pada 26 Jun mengesahkan semula hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Banyin. - Agensi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain