SEORANG wanita yang membuat pesanan makanan dalam talian membuat laporan polis selepas rumahnya dirosakkan pekerja perkhidmatan penghantaran (rider). Kejadian berlaku di Kota Dapok, Jawa Barat di Indonesia. Menurut mangsa, Dewi Purwanti, kejadian pada 21 Jun lalu berlaku selepas rider terbabit mendakwa sukar mencari lokasi rumahnya dengan menggunakan alamat yang diberikan. Susulan daripada itu katanya, individu tersebut tiba dalam keadaan marah dan menjerit-jerit sambil melemparkan kunci motosikal ke arahnya. Ujarnya, situasi yang berlaku itu menyebabkan dia dan rider terbabit bertengkar. Tambahan pula, individu berkenaan mendakwa panggilan yang dibuat kepada Dewi tidak berjawab. Dia bagaimanapun menafikannya dengan berkata tiada sebarang panggilan masuk diterima sehingga menyebabkan rider tersebut mengamuk lalu menendang motosikal miliknya. Bercerita lanjut, ujar Dewi, tindakan agresif berkenaan mengakibatkan tingkap rumahnya pecah dan mencederakan anaknya kerana serpihan kaca bertaburan di atas lantai sehingga jarak 100 meter. Dia juga mendakwa menerima ancaman daripada rider berkenaan. Demi untuk keselamatan diri dan keluarga, Dewi membuat laporan polis berikutan kejadian di Ibu Pejabat Polis Cimanggis. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube