MAYAT seorang wanita ditemukan dengan keadaan kepalanya berbalut plastik di bawah katil di rumah sewanya, pada Sabtu. Kematian mangsa yang merupakan pekerja di sebuah pasar mengejutkan ramai terutama gerai pembekal sayur tempat dia bekerja. Kematian mangsa yang berusia 20 tahun dan bekerja sebagai juruwang disedari apabila seorang saksi mencarinya kerana tidak datang bekerja sehari sebelumnya. Saksi dikatakan terhidu bau busuk apabila pergi ke rumah mangsa di rumah sewa di tingkat 3 rumah kedai. Kejadian berlaku di Ruko Pasar Perumnas Blok E nombor 11, Sagulung, Batam di Indonesia, pada Sabtu. Perkara itu disahkan oleh Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sagulung, Ipda Husnul, pada Ahad. "Memang benar, semalam mayat seorang wanita ditemukan di kawasan Pasar Perumnas. Penemuan ini berdasarkan laporan saksi yang juga rakan sekerja mangsa. "Terdapat bau busuk dari dalam bilik. Saksi mula curiga dan mencari punca bau itu, malah di bawah katil mangsa sebelum menemukan mayatnya," katanya ketika dihubungi. Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan kes tersebut masih dalam siasatan. -Kompas Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube