DUA mayat ditemukan terapung di sebatang sungai pada Sabtu. Kedua-dua mayat itu merupakan seorang ibu dan seorang bayi yang ditemukan dalam keadaan berpelukan. Penemuan mayat dua beranak itu selepas seorang penduduk melihat sesuatu terapung di sungai. Kejadian berlaku di Sungai Citarum Sektor 8, Desa Nanjung, Kecamatan Margaasih, Kabupaten Bandung di Indonesia. Ketua Polis Daerah Cimahi, AKBP Aldi Subartono berkata, saksi hanya menyedari ia merupakan mayat dua individu selepas menghampiri lokasi kejadian. "Berdasarkan hasil pemeriksaan dan pengecaman oleh pasukan mendapati tiada sebarang kesan keganasan ditemui pada kedua-dua mayat," kata Aldi. Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Cimahi Inspektor Gofur Supangkat berkata, mayat wanita itu merupakan seorang suri rumah berusia 31 tahun, manakala bayi perempuan baru berusia kira-kira empat bulan. "Menurut keterangan bapa saudara mangsa, wanita itu disyaki membunuh diri bersama anaknya akibat kemurungan kerana masalah ekonomi," kata Gofur. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital sebelum diserahkan kepada keluarga selepas proses pengecaman. Sebagai peringatan, perbuatan membunuh diri adalah dilarang dalam Islam dan berdosa besar, maka semua perlu menjauhinya. -Kompas Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube