suria

Suami cemburu buta tikam leher jiran... Sangka jalin hubungan sulit dengan isteri

Suspek hanya menunggu kedatangan polis di rumahnya. -Foto ThaiRath

SEORANG lelaki di bawah pengaruh alkohol berusia 63 tahun ditahan polis selepas menikam jirannya sehingga mati.

Menurut pegawai Balai Polis Sawai, mayat mangsa lelaki, Tui Kaensuwan berusia 54 thaun itu ditemukan di dapur kediamannya di Isaan, Surin, Thailand pada pukul 2.20 petang.

Suspek, Jan Boonsom didakwa membunuh jirannya atas dasar cemburu selepas menyedari motosikal isterinya berada di rumah mangsa.

Susulan itu Jan bertindak di luar kawalan dengan menetak tempat duduk motosikal sebelum menjerit memanggil Tui keluar.

Tui membalas panggilan itu dengan menjengukkan kepalanya ke luar tingkap sebelum lehernya ditikam oleh suspek.

Mangsa kemudiannya berlari dan bersembunyi di dapur sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah gara-gara kehilangan darah yang banyak.

Isteri Tui melaporkan kejadian itu kepada polis dan kemudiannya mencari isteri Jan yang hilang.

Menurut laporan polis, Jan dikatakan menyerah diri ketika ditangkap di luar rumahnya.

Suspek dikatakan tidak menunjukkan rasa bersalah atas apa yang dilakukannya.

Siasatan lanjut mendapati isteri Jan sebelum ini kerap ke rumah mangsa untuk menjual makanan membuatkan suspek menyangka mereka berdua menjalin hubungan sulit. -AGENSI

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain