suria

Pertengkaran berakhir tragedi... Lelaki maut ditikam isteri bertubi-tubi gara-gara ungkit isu mentua

Banyak kes jenayah berpunca daripada perselisihan faham. -Gambar hiasan

SEORANG wanita di Belitung, Sumatera ditahan polis kerana didakwa menikam suaminya menggunakan pisau sehingga maut selepas kedua-duanya bertengkar.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Belitung, Aiptu Romansa Adam, peristiwa berdarah itu berlaku di rumah pasangan berkenaan yang terletak di Desa Air Saga, Tanjungpandan.

Ujarnya, suspek yang dikenali sebagai Alen Ruminta, 31, bertindak menikam suaminya, Rinoyadi, 29, bertubi-tubi di bahagian dada sehingga mangsa maut.

"Ia bermula dengan pertengkaran suami isteri. Kemudian suaminya (mangsa) mengambil pisau di dapur untuk menakutkan isterinya (suspek)," kata Romansa.

Disebabkan ketakutan, suspek bertindak merampas pisau tersebut dan menikam mangsa hingga mati.

"Daripada kecederaan, terdapat lima (tikaman) di dada," jelasnya.

Romansa berkata, pertengkaran itu berpunca apabila mangsa mengungkit masalahnya dengan keluarga mentua.

"Jadi ia bermula dengan (mangsa) mengungkit kisah lama dengan mentuanya (ibu suspek). Dia tidak mahu berjumpa dengan mentuanya lagi," tambahnya.

Sehingga kini, suspek masih disoal siasat Unit Siasatan Jenayah Polis Belitung.

Polis turut merampas bahan bukti seperti pisau yang digunakan untuk menikam mangsa, sebilah sabit dan sehelai seluar panjang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain