SEORANG lelaki yang dipercayai ditanam hidup-hidup terselamat selepas 'kuburnya' digali anjing liar. Menurut laporan, mangsa yang dikenali Roop Kishore dari Agra, India dikatakan telah diserang oleh empat lelaki pada 18 Julai lalu di kawasan Artoni, kira-kira 13 kilometer dari Agra. Jelasnya, punca perkara itu berlaku adalah disebabkan pertikaian tanah. Berkongsi semula pengalamannya, Kishore menceritakan dia dicekik dan ditanam di ladang milik suspek terkait sebelum diandaikan telah meninggal dunia. Namun nasib menyebelahi Kishore selepas beberapa ekor anjing liar menggali tanah tempatnya ditanam, menyebabkan dia kembali tersedar. Kishore kemudiannya berjalan ke perkampungan berhampiran untuk mendapatkan bantuan. Dalam pada itu, pegawai dari Balai Polis Sikandra, Neeraj Sharma menjelaskan pihaknya kini sedang mencari empat suspek kes berkenaan yang dikenali sebagai Ankit, Gaurav, Karan, dan Akash. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube