suria

Lelaki masukkan belut hidup dalam dubur, doktor kesan ada lagi objek lain ketika pembedahan

Pakar perubatan menemukan seekor belut hidup di dalam perut pesakit. Foto Vietnam News/ANN

SEORANG lelaki berusia 31 tahun nyaris maut selepas memasukkan belut hidup ke dalam duburnya.

Belut hidup yang dimasukkan itu sepanjang kira-kira 65 sentimeter (cm).

Kejadian tersebut menimpa seorang lelaki warga India di Vietnam.

Menurut Hospital Viet Duc di Hanoi pada Isnin, doktor berjaya melakukan pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa pesakit itu.

Pada 27 Julai lalu, jabatan kecemasan hospital itu menerima kehadiran seorang pesakit lelaki yang tiba dalam keadaan sakit perut yang teruk.

Setelah mendapatkan sejarah perubatan pesakit, didedahkan bahawa pesakit berkenaan telah memasukkan belut besar ke dalam duburnya.

Pesakit segera diperiksa, menjalani pengimejan, ujian dan ultrasound.

Imej X-ray menunjukkan rangka belut itu terletak secara mendatar di rongga perut dari kiri ke kanan.

Timbalan Pengarah di Hospital Viet Duc, Dr Le Nhat Huy berkata, hospital segera mengatur pasukan pakar endoskopi dan pakar bius untuk melakukan kolonoskopi dalam usaha mengeluarkan objek asing melalui dubur.

Huy bagaimanapun memberitahu, pasukan memutuskan untuk melakukan pembedahan kecemasan terhadap pesakit itu.

Selepas mengeluarkan belut itu, doktor juga mengeluarkan sebiji limau dari dubur pesakit yang sama.

Menurut doktor, kebanyakan terutamanya lelaki muda, mempunyai kecenderungan untuk mencari sesuatu yang di luar kebiasaan untuk dijadikan alat merangsang seks.

"Belut boleh hidup dalam keadaan anaerobik untuk jangka masa yang lama dan mempunyai keupayaan untuk menggigit melalui saluran gastrousus.

"Oleh itu, orang ramai tidak boleh memasukkan haiwan hidup melalui dubur untuk mendapatkan rangsangan kerana boleh berdepan akibat yang teruk," kata Huy memberi amaran. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain