SEORANG ejen hartanah berusia 27 tahun memutuskan untuk mengikat tali perkahwinan bersama banduan yang baru dikenali selama enam minggu. Menurut laporan, peserta rancangan realiti itu, Laura Gehrke bertemu suaminya Joshua Stewart, 21 menerusi sebuah laman web berkaitan dengan banduan selepas berasa kesunyian pada Disember tahun lalu. Perkara itu terjadi selepas dia keseorangan ketika sambutan Hari Krimas di Dubai tanpa keluarganya kerana mempunyai masalah visa. Perkenalan mereka bermula selepas Laura tertarik melihat profil seorang banduan yang memiliki hobi sama iaitu berpuisi, dan kemudian menghantar emel kepada pemuda itu. Pasangan itu kemudian menghabiskan masa seharian berbual sehingga 11 jam untuk mengenali lebih mendalam sehingga Joshua mencadangkan untuk berkahwin dengannya. Mengetahui suaminya disabitkan kesalahan memiliki dadah, Laura tidak menilai masa lampau pasangannya. Disebabkan itu, Laura dikatakan sanggup terbang ke penjara Washington di Amerika Syarikat bagi melangsungkan perkahwinannya bersama Joshua. "Ini pilihan yang betul. Keluarga kami sangat menyokong walaupun ibu saya mempersoalkannya tetapi dia sangat menyokong," jelas Laura mengenai upacara perkahwinannya yang selama 90 minit. Walaupun tidak sempat bersama pada malam pertama, Laura bagaimanapun berharap untuk tinggal bersama suaminya itu di Amerika Syarikat selepas Joshua dijadualkan bebas pada Disember 2025. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube