suria

Wanita diikat pada pokok, ditinggalkan suami dalam hutan selepas bertengkar... Dakwa tak makan 40 hari!

Wanita tersebut berjaya diselamatkan dan kini sedang menerima rawatan. -Foto Indiatoday

SEORANG wanita berusia 50 tahun yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) ditemukan dalam keadaan lemah gara-gara dirantai dan ditinggalkan suaminya di dalam hutan di daerah Sindhudurg, Maharashtra, India.

Menurut polis, wanita itu yang dikenali sebagai Lalita Kayi Kumar S, ditemui oleh seorang pengembala yang mendengar tangisannya pada petang Sabtu lalu segera menghubungi pihak berkuasa.

Polis mengesyaki wanita tersebut dirantai dan ditinggalkan di dalam hutan selepas berlaku pertelingkahan rumah tangga dengan suaminya.

Ujarnya, ketika ditemui, kaki wanita tersebut diikat pada pokok.

Wanita malang itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Disebabkan keadaan kesihatannya yang sedikit terjejas, wanita tersebut menulis di atas kertas untuk berkomunikasi.

Menerusi sebuah video ketika sedang dirawat di hospital, wanita tersebut menulis mengenai pengalaman pahit yang dilaluinya dan mendakwa tidak makan selama 40 hari.

Dia mendakwa suaminya telah mengikat dan meninggalkannya di dalam hutan selepas mereka bergaduh.

Polis dilaporkan sudah memanggil beberapa individu untuk disoal siasat.

Mangsa kini ditempatkan di Institut Psikiatri dan Tingkah Laku Manusia (IPHB) di Bambolim.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain