INSIDEN tragis menimpa industri penerbangan apabila sebuah pesawat turboprob terhempas sehingga mengorbankan 61 nyawa. Menurut syarikat penerbangan serantau Voepass, pesawat malang berkenaan berlepas dari Cascavel, Parana menuju ke lapangan antarabangsa Sao Paulo di Brazil. Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan di bandar Vinhedo iaitu kira-kira 80 kilometer (km) dari barat laut Sao Paulo. Melalui satu ciapan tular di laman X, rakaman video orang awam memaparkan pesawat itu berpusing-pusing di udara sebelum menjunam ke bawah dan seterusnya terhempas berhampiran kawasan kejiranan kondominium. Turut dapat diperhatikan kepulan asap yang besar sejurus selepas pesawat terbabit terhempas. Pihak berkuasa berkata tiada penumpang dan anak kapal di dalam pesawat yang terselamat. Operasi menyelamat di lokasi nahas. Sementara itu, tiada penduduk berdekatan lokasi nahas yang cedera dan hanya satu kediaman mengalami kerosakan akibat terkena serpihan. Seorang penduduk yang menjadi saksi kejadian dikenali sebagai Daniel de Lima berkata dia mendengar bunyi yang kuat. "Saya terus tengok ke luar kondominium dan nampak pesawat itu berpusing tetapi tidak bergerak ke hadapan. Tidak lama kemudian ia jatuh dan meletup. "Saya percaya juruterbang cuba mengelak kawasan kejiranan berdekatan yang padat dengan penduduk," katanya. Dalam pada itu, Ketua Pusat Siasatan Kemalangan Penerbangan Brazil (CENIPA), Marcelo Moreno berkata kotak hitam pesawat sudah ditemukan, namun punca nahas masih belum dapat dipastikan. "Masih terlalu awal untuk menentukan punca nahas. "Daripada apa yang kami boleh maklumkan setakat ini, pesawat itu tidak menghubungi pusat kawalan trafik untuk melaporkan kecemasan," ujarnya. Voepas dalam satu kenyataan berkata 62 mangsa terdiri daripada 57 penumpang dan empat anak kapal. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube