SEORANG lelaki dari Bang Khen, Bangkok, Thailand didakwa membunuh isterinya kerana cemburu, sebelum bertindak mengambil nyawanya sendiri tidak lama selepas itu, lapor Thaiger. Timbalan Inspektor Balai Polis Khan Na Yao, Teerapong Chuayprasom, berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes pembunuhan di sebuah rumah di Soi Ram Inthra, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Jumaat (9 Ogos). Sebaik pihak polis tiba, mereka menemui mayat Natchanath, 49, yang ditutup selimut di bahagian tingkat bawah rumah pasangan tersebut. Mangsa mengalami luka parah di kepala, disyaki dipukul menggunakan tukul yang ditemui berhampiran. Sementara itu mayat suami mangsa, Surasee, 58, ditemui berhampiran kawasan pengudaraan di rumah berkenaan. Berdasarkan siasatan awal polis, Surasee membunuh isteri yang dikahwininya sejak sembilan tahun lalu angkara cemburu. Jiran pasangan berkenaan dilaporkan mendengar mereka bertengkar pada malam sebelum kejadian. Menurut mereka, pasangan berkenaan sering bertengkar sejak sebulan lalu, gara-gara sikap Surasee yang cemburu dan menaruh syak wasangka bahawa isterinya ada menjalin hubungan dengan lelaki lain. Polis kini sedang mengumpul bukti dan menemu bual saksi untuk membantu siasatan. Menurut jiran pasangan itu juga, mereka percaya bahawa kediaman suami isteri itu terkena sumpahan dan kematian kedua-duanya ada kaitan dengan sejarah hitam rumah tersebut. Menurut mereka, rumah berkenaan sudah menyaksikan sembilan kematian berlaku sepanjang tempoh 10 tahun. Ia melibatkan saudara-mara Natchanath yang meninggal dunia dalam pelbagai keadaan, termasuk kemalangan, kanser, dan kematian mengejut yang tidak dapat dijelaskan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube