PASANGAN suami isteri di selatan China yang baru menyambut kelahiran bayi perempuan kembar empat menerima kritikan gara-gara merayu bantuan kewangan. Si isteri yang hanya dikenali dengan nama keluarga Li melahirkan empat bayi perempuan pada 23 Ogos lalu di Hospital Penjagaan Kesihatan Ibu dan Anak Shenzhen, Guangdong, China. Keempat-empat bayi itu dihantar ke unit rawatan rapi kerana mereka dilahirkan sebulan lebih awal. Menurut laporan media China, wanita itu dan suaminya yang hanya dikenali dengan nama keluarga Chen, telah mempunyai dua anak perempuan. Menurut bapa kepada enam cahaya mata itu, mereka perlu membayar kos perubatan dianggarkan sebanyak RM122,373 (200,000 yuan) kerana keempat-empat bayi yang baru lahir perlu tinggal di hospital dalam tempoh sebulan lagi. Sementara itu, kata Li, doktor memaklumkan tentang khabar baik ini ketika usia kandungannya dua bulan dan memutuskan untuk meneruskan kehamilan. Berita tentang keluarga itu menjadi trending dalam talian terutama di laman Douyin dan segera menjadi topik perbincangan di seluruh negara. Pengguna media sosial bagaimanapun tidak bersimpati dengan pasangan itu dan berpendapat kedua-duanya tidak bertanggungjawab kerana mereka sedar tidak mampu menyara ramai anak. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube