AJAL, maut dan jodoh adalah ketentuan Tuhan. Begitulah yang dialami lelaki ini apabila dia tidak menyangka akan berkahwin sekali lagi pada usia 93 tahun. Lebih menyedihkan apabila di usia senja itu, dia yang dikenali sebagai Tan 'kehilangan' sebuah rumah flat selepas menandatangani perjanjian penyerahan unit tersebut kepada rakan sebagai balasan untuk penjagaan dan persahabatan. Lelaki yang kini berusia 99 tahun, bagaimanapun cuba untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi memperoleh semula kediaman berkenaan. Namun malangnya, usaha tersebut ditolak jabatan kehakiman pada 28 Ogos lalu. Mengimbau peristiwa pada 2005, dia yang berasal dari Shanghai China berkata, perjanjian tersebut adalah sebagai timbal balas kepada penjagaan dan persahabatan daripada rakannya. Bukan itu sahaja, dia turut meminta keluarga rakannya untuk kerap menelefon, melawat seminggu sekali, membelikan dia pakaian dan barangan runcit, serta menjaganya apabila dia tidak sihat. “Mereka mengambil berat tentang saya lebih daripada keluarga saya. "Mereka membantu saya melalui penyakit dan kesakitan, dan menjadikan hidup saya kaya dan bahagia," katanya yang tidak mempunyai hubungan baik dengan zuriat kandung. Pada 2018, Tan berkahwin semula dan menyesali keputusannya menyerahkan rumah kepada rakan baik. Dia dilaporkan menyaman bekas rakan sekerjanya berkali-kali pada 2019 dan 2021, menafikan pengetahuan mengenai pemindahan hartanya ke dalam nama rakan terbabit selain menuntut pembatalan kontrak mereka. Sebagai tindak balas, rakannya menyaman balas dan meminta Tan berpindah dengan segera serta membayar sewa mulai 2006. Malah rakannya telah menunjukkan kepada mahkamah mesej serta gambar keluarga bersama Tan untuk membuktikan mereka telah menemaninya seperti dinyatakan dalam kontrak. - South China Morning Post Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube