SEORANG pemilik anjing di Shanghai, China diarahkan oleh mahkamah untuk membayar AS$12,600 (kira-kira RM53,066) sebagai pampasan kepada seorang wanita hamil yang mengalami keguguran selepas 'ditakutkan' oleh haiwan peliharaan miliknya. Menurut laporan Shanghai Morning Post, ketika kejadian, wanita hamil bernama Yan sedang berjalan melalui komuniti kediamannya untuk mengambil bungkusan dari stesen kurier. Tiba-tiba, seekor anjing baka Golden Retriever berlari keluar dari sebuah bangunan dan menghampirinya, menyebabkan Yan terkejut dan berundur hingga cedera akibat 'disergah'. Yan yang merasakan kesakitan pada abdomennya segera ke hospital. Malangnya, dia diberitahu doktor bahawa degupan jantung janinnya sudah tidak dapat dikesan. "Saya sudah mengandung hampir empat bulan. Selepas anjing itu menakutkan saya, saya berasa sakit di perut dan pergi ke hospital, tetapi sayangnya bayi saya tidak dapat diselamatkan," kata Yan. Difahamkan, Yan, 41, hamil selepas menjalani beberapa kali prosedur persenyawaan in vitro (IVF) selama tiga tahun. Susulan kejadian itu, Yan memfailkan saman terhadap pemilik anjing berkenaan. Mahkamah akhirnya memutuskan dan memerintahkan pemilik anjing berkenaan membayar pampasan kepada Yan di atas tekanan fizikal dan emosi yang dialami wanita itu akibat insiden berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube