suria

Anak bawa pulang mayat bapa dengan motosikal, dakwa tiada ambulans di hospital

Dua lelaki membawa mayat bapa mereka pulang ke rumah dengan menaiki motosikal. -Foto India Today

DUA lelaki membawa mayat bapa mereka yang berusia 80 tahun dengan menaiki motosikal untuk pulang ke rumah, selepas mendakwa tiada ambulans di hospital.

Insiden berkenaan berlaku di Tumkur, Karnataka, India.

Difahamkan bapa mereka dihantar ke sebuah hospital kendalian kerajaan di daerah berkenaan, dan meninggal dunia semasa menerima rawatan, lapor India Today.

Disebabkan ketiadaan ambulans di hospital, anak lelaki pesakit berkenaan membawa pulang mayat bapa mereka dengan menaiki motosikal.

Bercakap mengenai kejadian itu, Ketua Pegawai Perubatan (CMO) Tumkur, Dr Chandrashekar berkata, ambulans telah diatur untuk membawa mayat warga emas itu, namun keluarganya enggan menunggu ambulans tiba.

"Seorang pesakit dibawa ke hospital dalam keadaan serius dengan menaiki ambulans namun dia kemudian meninggal dunia ketika dirawat.

"Ambulans yang sama tidak dapat menghantar pulang mayatnya kerana digunakan untuk membawa pesakit lain.

"Kami telah mengaturkan ambulans lain untuk menghantar mayat pulang ke kampung mereka.

"Bagaimanapun, ketika ambulans dalam perjalanan ke hospital, ahli keluarga pesakit tidak menunggu sebaliknya mengangkutnya dengan motosikal. Tidak ada isu kekurangan ambulans," tambah doktor berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube