SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila dibelit seekor ular sawa gergasi selama lebih dua jam. Ketika kejadian, mangsa berusia 64 tahun itu sedang mencuci pinggan mangkuk di rumahnya. Dia kemudian merasakan beberapa gigitan di bahagian kakinya. Insiden mencemaskan itu berlaku di Samut Prakan di Bangkok, Thailand. "Ular itu datang ke arah saya dan terus menggigit saya," kata mangsa. Menurut Polis Phra Samut Chedi, Anusorn Wongmalee, ular tersebut kemudian membelit wanita itu, sehingga menyebabkan mangsa jatuh ke tanah. "Mangsa cuba membebaskan dirinya daripada belitan ular yang kuat selama dua jam, tetapi gagal," katanya. Jelas beliau, wanita itu menjerit meminta tolong sehingga seorang jirannya mendengarnya dan mendapatkan bantuan daripada polis. "Kami terkejut melihat wanita itu dibelit ular sawa di atas lantai. Ular itu sangat besar," ujarnya lagi. Pihak polis mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyelamatkan mangsa yang kemudian dihantar ke hospital bagi menerima rawatan. "Kami tidak dapat menangkap ular tersebut, ia sudah melarikan diri," tambahnya. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube