SEORANG penduduk kampung yang sedang mencari kucingnya yang hilang terkejut apabila menemui lima mayat terapung di Sungai Bekasi, Jawa Barat, Indonesia pada Ahad. Pemangku Ketua Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Bekasi, Priadi Santoso mengesahkan bahawa laporan pertama mengenai mayat-mayat itu dibuat oleh penduduk sekitar jam 7.00 pagi. Ujar Priadi, pada mulanya penduduk berkenaan menemui lima mayat dan dia memberitahu mengenai penemuan itu kepada penduduk kampung yang kemudian bertindak membuat laporan polis. Pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa membawa kepada penemuan dua lagi mayat yang lain. Menurut polis, mayat-mayat itu dipercayai sekumpulan remaja yang lemas ketika cuba mengelakkan diri daripada diberkas polis peronda. Berdasarkan keterangan saksi, mangsa bertindak terjun ke dalam sungai kerana takut terserempak dengan polis peronda yang melalui kawasan berkenaan. Mangsa ditemui terapung di perairan yang berlumpur, dengan tanda bengkak pada muka mereka tetapi tiada kecederaan serius. Kesemua tujuh mangsa juga berpakaian sedondon dengan mengenakan jaket hitam. Walau bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan sama ada jaket itu melambangkan sebarang lencana atau gabungan tertentu. Kesemua mayat dibawa ke Hospital Polis Keramat Jati di Jakarta Timur untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian tersebut. Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube