suria

Disangka pesawat tentera, kapal terbang bawa kargo ditembak jatuh... Tiada mangsa selamat

Lokasi nahas pesawat jenis Ilyushin Il-76.

SEBUAH pesawat kargo ditembak jatuh oleh kumpulan militan di bahagian barat Sudan sekitar Darfur pada pagi Isnin.

Wilayah Darfur mengalami pergolakan kerana konflik perang saudara yang meletus pada April 2023.

Menerusi video tular di media sosial, dapat diperhatikan kawasan terbuka yang dipenuhi serpihan pesawat serta api marak dan kepulan asap hitam.

Difahamkan kumpulan militan, Rapid Support Forces (RSF) melakukan kesilapan apabila mengenal pasti pesawat itu sebagai pesawat tentera lalu bertindak menembaknya jatuh menggunakan peluru berpandu.

Mereka menyangka pesawat malang itu adalah jenis Antovov milik Mesir kerana menuduh negara berkenaan terlibat dalam pergolakan di rantau mereka sehingga menimbulkan ketegangan antara kedua-dua pihak itu.

Mesir bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

Dilaporkan pesawat yang ditembak jatuh itu ialah jenis Ilyushin Il-76, membawa dua anak kapal dan tiada yang terselamat dalam nahas.

Antara mangsanya adalah Viktor Granov yang merupakan ketua jurutera bagi Airline Transport Incorporation FZC, berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Seorang lagi anak kapal pula memiliki pasport Rusia.

Kedutaan Rusia di Sudan berkata pihaknya sedang menyiasat insiden terbabit memandangkan ia melibatkan warganegara Rusia. - Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain