SEORANG lelaki nekad memecah masuk rumah rakannya, gara-gara mahu membeli cincin emas untuk menawan hati bekas isterinya. Mangsa bagaimanapun membuat laporan polis selepas berjaya menangkap bekas rakan sekerja dan jirannya yang mencuri di kediamannya di sebuah apartment. Perbuatan suspek disedari mangsa yang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah. Kejadian berlaku di Sattahip, Chon Buri, Thailand pada Isnin lalu. Dilaporkan, suspek yang berusia 44 tahun mencuri dengan nilai keseluruhan lebih 100,000 baht (RM12,863). Bekas isteri suspek mengakui suaminya sebelum ini pernah ditangkap kerana mencuri dan sukar mencari kerja selepas dibebaskan dari penjara. Dia mendedahkan bahawa mereka sebelum ini berpisah dan suspek merayu untuk kembali semula dan mahu memberinya cincin emas sebagai hadiah. Suspek kemudian berasa bersalah kerana tidak dapat memberi nafkah pada isteri dan anak, serta terpaksa melakukan kecurian untuk menyara mereka. Bagaimanapun, dia menegaskan wang yang digunakannya untuk membeli cincin emas itu bukan hasil curi dan mendakwa ia merupakan duit daripada perjudian dalam talian. Susulan itu, suspek kemudian menyerah diri di balai polis dan kes tersebut dalam siasatan. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube