suria

Terkandas di padang pasir akibat kereta rosak, wanita tempah e-hailing terkejut ada pilihan unta

Dua wanita terkejut apabila mendapati aplikasi Uber menyediakan pilihan pengangkutan termasuk unta. -Foto media sosial

TULAR sebuah video di media sosial memaparkan pengalaman luar biasa dua orang wanita yang terkandas di padang pasir sebelum mereka akhirnya 'diselamatkan'.

Menurut laporan India.com, kenderaan yang dinaiki kedua-dua wanita tersebut mengalami kerosakan ketika berada di kawasan padang pasir dekat Al-Badayer, Dubai.

Dalam situasi mencemaskan itu, mereka menggunakan aplikasi e-hailing, Uber untuk mendapatkan bantuan pengangkutan.

Namun, mereka terkejut apabila mendapati pilihan pengangkutan yang ditawarkan termasuk unta, selain daripada kereta dan kenderaan jenis ATV.

Tertarik dengan pilihan unik tersebut, mereka segera membuat tempahan.

Tidak lama kemudian, seorang lelaki tiba bersama seekor unta dan memperkenalkan dirinya sebagai 'Pemandu Unta Uber'.

Perkongsian video tersebut mengundang perhatian warga maya dengan ramai yang meluahkan rasa teruja dan kagum, malah ada yang turut terhibur melihat 'pengangkutan' yang ditempah dua wanita berkenaan.

"Hanya di Dubai anda boleh menempah unta seperti ia bukan satu masalah besar!

"Atas sebab keselamatan, pastikan anda memeriksa nombor pendaftarannya," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain