SEORANG pengurus projek di China telah mencetuskan kemarahan warga maya apabila mengarahkan para pekerja supaya mengutamakan tugas berbanding keluarga, walaupun jika berlaku kematian melibatkan kaum keluarga sendiri, lapor SCMP. Perkara tersebut didedahkan dalam grup sembang dalam talian, memaparkan perbualan pengurus bernama Pu dari wilayah Sichuan di barat daya China, mengarahkan pekerja untuk memberi tumpuan kepada projek pembinaan. "Adakah semua orang jelas mengenai tanggungjawab masing-masing? Sila renungkan. Tiada seorang pun daripada anda yang baru dalam projek ini, jadi adakah semua orang sedar sepenuhnya tentang peranan masing-masing? "Pandangan peribadi saya ialah jika anda berada dalam projek ini, maka kerja projek diutamakan. Jika ada yang mati di rumah, biarkannya mereput seketika. "Pertama, selesaikan urusan projek, kemudian barulah isu peribadi. Mungkin ini hanya pandangan peribadi saya, tetapi saya tertanya-tanya jika semua orang bersetuju!" tulisnya dalam perbualan tersebut. Menurut saluran berita Fujiang Observation, Pu berkhidmat di sebuah syarikat swasta yang beribu pejabat di luar Mianyang. Bagaimanapun butiran tentang syarikat tempat Pu bekerja dan maklumat khusus tentang projek pembinaan yang dimaksudkan masih tidak jelas. Susulan kontroversi itu, Pu mengeluarkan permohonan maaf di media sosial, mengakui kata-katanya dalam grup sembang bersama pekerja adalah tidak wajar selain berjanji untuk membetulkan keadaan. Sungguhpuh begitu, Pu tetap menerima kecaman hebat daripada warga maya selepas isu berkenaan tersebar. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube