suria

Pelajar tanggal pakaian, berjalan separa bogel dalam kampus tanda protes diganggu pak guard

Pelajar wanita tersebut berjalan mundar-mandir di sekitar kampus dengan hanya berpakaian dalam sebelum ditahan. -Foto The Telegraph

SEORANG pelajar perempuan di sebuah universiti di Tehran, Iran menanggalkan pakaian dan hanya mengenakan pakaian dalam sebagai protes selepas diganggu oleh pengawal keselamatan kampus berhubung peraturan pemakaian yang ketat, lapor The Telegraph.

Video yang tersebar luas di media sosial menunjukkan pelajar itu duduk di luar kampus dengan hanya berseluar dalam dan bercoli manakala pengawal keselamatan mengepungnya.

Sementara itu satu lagi video menunjukkan dia berjalan di sekitar kampus sambil gelagatnya dirakam oleh pelajar lain.

Dikhabarkan tindakan protes pelajar itu bermula selepas pasukan keselamatan menyerangnya secara fizikal kerana tidak bertudung.

Sebagai tindak balas selepas pakaiannya dikoyakkan, pelajar itu memilih untuk menanggalkan apa yang dipakai, demikian menurut saluran berita media sosial pelajar Iran dan saksi.

Beberapa saksi mengesahkan pelajar itu kemudian ditahan oleh pihak berkuasa.

Rakaman video turut menunjukkan detik penahanan pelajar itu dari kampus.

Pengarah perhubungan awam di universiti itu, Amir Mahjoub berkata bahawa pelajar tersebut telah dibawa ke balai polis dan mendakwa dia berada di bawah 'tekanan mental yang teruk dan mengalami gangguan psikologi'.

Laporan itu menambah, selepas diserahkan kepada polis oleh kakitangan keselamatan universiti, pelajar itu telah dimasukkan ke pusat rawatan psikiatri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain