suria

Pelanggan tiba-tiba mengamuk, baling balang rempah hingga wajah pembantu kedai makan lebam

Mangsa (berbaju pink) tampil membuat laporan selepas dikasari seorang pelanggan kedai makan hingga cedera. -Foto Detik

SEORANG pekerja di sebuah kedai makan mendakwa wajahnya mengalami lebam selepas dibaling balang berisi rempah oleh pelanggan.

Susulan itu, mangsa yang dikenali sebagai Ariska Agustina, 18, dari Palembang, Indonesia, tampil membuat laporan kepada Pusat Perkhidmatan Polis Bersepadu (SPKT).

"Saya sedang menyiapkan makanan pelanggan wanita itu yang mahu bungkus. Dia tiba-tiba marah dan melemparkan bekas rempah ke muka saya," kata Ariska ketika membuat laporan pada Ahad.

Menurut gadis tersebut, insiden yang menimpa dirinya berlaku pada petang Rabu.

Menceritakan semula kejadian tersebut, Ariska berkata dia pada mulanya sedang menyiapkan pesanan makanan pelanggan tersebut, sebelum tiba-tiba wanita itu menjerit dan marah.

Dia berani bertanya mengapa tiba-tiba pelanggan wanita tersebut bertindak demikian dan kemudian kembali menyiapkan pesanan makanan.

Ujarnya, selepas pesanan makanan disiapkan, pelanggan itu masih memarahinya sekaligus mencetuskan pergaduhan mulut.

"Selepas itu, dia membaling balang rempah tepat ke muka saya sambil beremosi. Kami hanya dihalang oleh meja, lontaran itu mengenai kawasan berhampiran mata kanan saya," jelasnya sambil menambah, pelanggan tersebut turut mengeluarkan kata-kata berbaur hinaan.

Ketua SPKT Polis Palembang, AKP Heri berkata suspek akan disiasat di bawah Perkara 352 Kanun Jenayah berhubung penderaan.

"Kami telah menerima aduan daripada mangsa beserta kamera litar tertutup (CCTV) kedai sebagai bukti. Kami akan menyerahkan laporan kepada Unit Siasatan Jenayah Polis Palembang untuk tindakan susulan," katanya. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain